Friday, July 19, 2013

MESYUARAT AGUNG PERWAKILAN TAHUNAN KALI KE 32 DAN PENGUMUMAN PEMBAYARAN DIVIDEN SEBANYAK 10% PERATUS DAN BONUS 6.5 PERATUS BAGI TAHUN 2012



KUALA LUMPUR 7 Julai – Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (“KPF”) telah mengadakan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kali Ke 32 bertempat di Dewan Bankuet, Menara Felda, Jalan Stonor, Kuala Lumpur. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Y.Bhg. Dato’ Faizoull Ahmad Pengarah Besar FELDA selaku Pengerusi KPF. Mesyuarat ini telah dihadiri seramai 1,205 perwakilan dari seluruh negara.

Pada mesyuarat ini telah diumumkan KPF membayar dividen dan bonus tunai sebanyak 16.5 peratus kepada 232,703 anggotanya berjumlah RM350.16 juta.

Dividen 10 peratus mula dibayar kepada anggota pada 8 Julai 2013 manakala bonus 6.5 peratus bonus dibayar tertakluk kepada kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Pada tahun kewangan 2012 berakhir 31 Disember lalu anggota KPF merekodkan pertambahan seramai 26,786 anggota kepada 258,688 (2011:231,902) mencatatkan peningkatan sebanyak 11.55% manakala modal syer anggota bertambah sebanyak RM345,383 juta melonjak kepada RM2.29 bilion (2011:RM1.95 bilion) dengan mencatatkan pertambahan sebanyak 17.75%.

Bilangan anggota daripada Kumpulan Peneroka bertambah sebanyak 12.72% kepada 228,671 (2011:202,879). Kumpulan Peneroka merupakan 88.4% daripada jumlah keseluruhan anggota KPF dan kekal sebagai pencarum terbesar dengan miliki modal syer sebanyak RM1.65 bilion atau 72.02% daripada jumlah keseluruhan modal syer anggota.

Anggota daripada Kumpulan Kakitangan pula iaitu seramai 30,017 anggota (2011:29,033), merupakan 12.26% daripada jumlah keseluruhan anggota KPF. Kumpulan ini memegang syer sebanyak RM641.14 juta (2011:RM553.59 juta) ataupun 27.98% daripada keseluruhan modal syer anggota.

Pelaburan KPF telah meningkat kepada RM3.15 bilion dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 8.8% berjumlah RM0.25 bilion berbanding tahun lalu (2011:RM2.9 bilion). Pelaburan terbesar adalah dalam Syarikat Usahasama/Luar bernilai RM842.01 juta ataupun 26.73% daripada jumlah keseluruhan dana pelaburan, diikuti dengan Deposit/Simpanan RM586.09 juta (18.61%), Sekuriti Pasaran RM571.77 juta (18.15%), Hartanah RM490.48 juta (15.57%), Syarikat Kumpulan Felda RM353.60 juta (11.23%), Amanah Raya Berhad RM103.49 juta (3.28%), Pembiayaan RM85.37 juta (2.71%), Koop Bank RM54.85 juta (1.74%), Sukuk RM36.0 juta (1.14%), dan Syarikat Kumpulan KPF RM26.41 juta (0.84%). KPF telah menambah pemilikan modal syer dalam Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad sebanyak RM1.85 juta dan Bank Persatuan Malaysia Berhad sebanyak RM2.00 juta.

Pemilikan ekuiti dalam 11 buah Syarikat Kumpulan Felda melalui pegangan sebanyak 256.6 juta unit saham dengan kos pelaburan sebanyak RM353.6 juta, kekal sebagai teras utama pelaburan KPF.

Pada tahun 2012, KPF mencatatkan perolehan sebanyak RM825.73 juta iaitu peningkatan 19.48% berbanding tempoh yang sama tahun lalu (2011:RM691.09 juta). Perolehan ini merupakan pencapaian tertinggi sejak ditubuhkan 32 tahun lalu. Syarikat Kumpulan Felda membayar dividen sebanyak RM300.13 juta (2011:RM398.16 juta), menyumbang 36.35% daripada jumlah keseluruhan pendapatan KPF.

Keuntungan bersih sebelum cukai ialah sebanyak RM351.7 juta, susut sebanyak RM4.44 juta atau 1.25% berbanding tahun lalu (2011:RM356.14 juta). Penyusutan keuntungan bersih ini berikutan peningkatan perbelanjaan yang disebabkan oleh belanja rosotnilai aset sedia dijual, susutnilai pelaburan hartanah dan kos kewangan. Pada tahun ini KPF turut membayar zakat perniagaannya sebanyak RM10.5 juta.

Mengenai perancangan masa hadapan bagi tahun 2013, KPF memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM900 juta. Peruntukan ini melibatkan pelaburan dalam sektor perladangan dan hartanah serta perluasan aktiviti perbankkan koop seperti pembiayaan dan pajak gadai Islam.

Pada mesyuarat ini juga telah membuat keputusan memilih enam anggota untuk dilantik menduduki Lembaga KPF bagi sesi 2013/2014 iaitu Datuk Faizoull Ahmad, Hanafi Suhada, Mohd Shahrin Mohd Ali, Encik Abu Bakar Ibrahim, Samsuddin Othman dan Saodah Sudi.

Seramai tiga anggota Lembaga telah tamat tempoh perkhidmatan mereka iaitu Datuk Suhaimi Zainuddin, Abdul Latif Othman dan Abdul Majid Abdullah.