Tuesday, August 26, 2014

Suruhanjaya Koperasi Malaysia Tawar Tabung Modal Pusingan


KUALA LUMPUR 1 Mei - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berkata, hanya sejumlah 7.5 peratus atau 613 daripada 8,300 koperasi di seluruh Malaysia pasif, kata Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Md. Yusof Samsuddin.Beliau berkata, jumlah itu amat kecil dan tidak membimbangkan.

Md. Yusof berkata, pihaknya berusaha memulihkan koperasi yang pasif itu melalui beberapa langkah agresif.

Katanya: ''Salah satu langkahnya yang dilakukan adalah melakukan pemeriksaan usaha wajar (DDE) terhadap mereka untuk menilai kedudukan kewangan dan pengurusan koperasi. Ia penting sebagai usaha mengatasi sebarang kelemahan dan seterusnya memberikan penarafan kepada koperasi.

''DDE telah menyumbang kepada pembangunan kapasiti yang mana beberapa koperasi dipulihkan semula melalui pelantikan pentadbir atau perunding.

''Selain menggunakan kaedah DDE, bagi membantu koperasi yang tidak aktif ini, SKM menawarkan khidmat nasihat, bimbingan dan latihan kepada Anggota Lembaga Koperasi (ALK). Di samping itu, SKM menawarkan bantuan kewangan kepada koperasi yang layak,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Sehingga Mac lalu, sebanyak 8,300 koperasi berdaftar dengan SKM.

Md. Yusof menjelaskan tiga punca sesebuah koperasi menjadi pasif iaitu tadbir urus yang tidak cekap, tiada perniagaan atau aktiviti dan kekurangan modal.

Oleh sebab itu, SKM telah menawarkan bantuan dalam bentuk nasihat dan bimbingan serta bantuan pinjaman kepada koperasi-koperasi bermasalah.

Katanya, SKM menawarkan Tabung Modal Pusingan (TMP) kepada koperasi-koperasi yang memerlukan.

Pada tahun lalu, sebanyak RM118 juta telah diagihkan kepada 167 koperasi sehingga 31 Disember tahun lalu.

Menurut Md. Yusof, kadar faedah yang ditawarkan juga rendah iaitu dua hingga enam peratus daripada nilai pinjaman.

''Pinjaman telah meningkat setiap tahun sejak 2008, sekali gus menunjukkan perkembangan yang baik dalam industri koperasi dan ia berada di landasan yang betul,'' katanya.

Beliau menambah, pinjaman tidak berbayar (NPL) SKM setakat 31 Disember 2011 juga terkawal iaitu 8.6 peratus.

Katanya, kerajaan telah memperuntukkan geran pinjaman berjumlah RM120 juta melalui SKM untuk diagih-agihkan pada sepanjang tahun ini dan sehingga Mac lalu, RM60 juta telahpun dikeluarkan.

Sejak 1985, sebanyak RM796.9 juta nilai pinjaman telah diluluskan dengan RM421 juta baki pinjaman perlu dikutip semula.

No comments:

Post a Comment