Wednesday, March 1, 2017

Pembiakan benih sawit

Program pembiakan dan pemilihan baka sawit di Malaysia dimulakan oleh :
Program pembiakbakaan sawit adalah berdasarkan kepada objektif-objektif yang berikut:
  • Meningkatkan hasil minyak
  • Meningkatkan kualiti minyak
  • Mengurangkan kadar ketinggian pokok
  • Tahan kepada perosak dan penyakit.
Induk untuk pengeluaran biji benih D x P dipilih berdasarkan hasil tandan dan komponen kualiti tandan dari pokok yang diketahui salasilahnya. Data ukuran vegetatif sering diambil kira ketika pemilihan. Rekod hasil dikumpul bagi tempoh tidak kurang empat tahun berturut-turut. Komponen kualiti tandan seperti peratusan perahan minyak dan hasil isirung ditentukan melalui kaedah 'analisis tandan', dengan 3 - 5 tandan dianalisis bagi setiap pokok. Semua data yang dikumpul berdasarkan pokok individu.
Pemilihan Berulang Salingan (RRS) diamalkan untuk memilih induk, dengan dura dan pisifera dipilih secara berasingan, dan kemudian dikacukkan. Ujian progeni dijalankan untuk menilai keupayaan bergabung induk-induk berkenaan. Misalnya, pisifera AVROS bergabung baik dengan dura Deli untuk menghasilkan buah tandan segar (FFB) yang banyak dan perahan minyak yang tinggi .
Pengeluaran biji benih D x P berpandukan kepada Piawai Malaysia MS157:1997, iaitu Biji Benih Kelapa Sawit Untuk Penanaman Komersil. Hanya D x P bermutu dikeluarkan dan dipasarkan kepada pengguna. Kawalan mutu yang tinggi dipastikan agar tidak berlaku pencemaran ketika mengumpulkan debunga pisifera dan pendebungaannya terkawal pada induk penanti dura.
Pada tahun 2003, dianggarkan 58 juta benih D x P dikeluarkan di Malaysia. Jumlah keluaran pada tahun tersebut meningkat selepas pengurangan permintaan antara tahun-tahun 2000 hingga 2002. Peningkatan ini disebabkan oleh aktiviti penanaman semula.
Industri makanan berasaskan minyak sawit di Malaysia telah mengalami perkembangan pesat sejak tiga dekad yang lalu. Kawasan tanaman sawit meningkat daripada anggaran satu juta hektar dalam tahun 1980 kepada dua juta hektar dalam tahun 1990, dan hari ini ia berada pada keluasan 3.8 juta hektar, bersamaan dengan lebih 500 juta pokok sawit.
Dari segi penghasilan minyak sawit mentah (CPO), pengeluaran dicatat pada 13.35 juta tan dalam tahun 2003 daripada sejumlah 370 kilang buah sawit di seluruh negara.
Industri ini juga turut terbabit secara meluas dalam aktiviti hiliran, daripada penapisan sehingga kepada penghasilan minyak masak dan oleokimia.
Malaysia mempunyai jumlah penduduk yang agak kecil seramai 24 juta orang dan dengan itu, penggunaan minyak sawit secara tempatan adalah agak terhad.
Oleh kerana itu, lebih 90 peratus pengeluaran minyak makan tahunan telah dieksport, menjadikan hasil sawit punca pendapatan tukaran wang asing yang penting untuk negara ini, serta tonggak ekonomi negara.
Nilai eksport minyak sawit pada tahun 2003 berjumlah RM 26.15 bilion ketika harga purata minyak sawit mentah berada pada paras RM 1,544 satu tan. Hari ini, Malaysia menyumbang anggaran 50 peratus daripada pengeluaran minyak sawit dunia dan anggaran 60 peratus daripada jumlah dagangannya.
Terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa sejumlah besar keluasan kawasan tanaman minyak sawit yang telah dikatakan ditanam di dalam kawasan hutan tropika, sebenarnya ditanam di kawasan hutan pembalakan, atau ditanam semula di dalam kawasan yang sebelum itu ditanam dengan tanaman lain.
Contohnya, daripada tahun 1990 hingga 2000, ketika kawasan tanaman kelapa sawit di Malaysia meningkat sebanyak 1.4 juta hektar, kegiatan menanam getah, koko dan kelapa masing-masing menurun sebanyak 0.4, 0.3 dan 0.2 juta hektar.
Sejumlah besar keluasan kawasan tanaman ini ditanam semula dengan kelapa sawit kerana ia tanaman yang lebih menguntungkan.
Nilai pelaburan terkini dalam industri minyak sawit Malaysia dianggarkan sekitar RM62 bilion dengan sejumlah besar pembiayaan ini diperoleh dalam negeri.
Peningkatan secara meluas penanaman sawit ini membawa pembangunan yang amat diperlukan di kawasan luar bandar, dan telah menjadi tulang belakang ekonomi luar bandar.
Seramai 290,000 pekebun kecil di skim tanah kerajaan serta pekebun kecil persendirian, bergantung sepenuhnya kepada tanaman ini untuk kehidupan harian mereka.
Hasil pendapatan daripada sawit membawa kesan penting dalam mengekalkan kestabilan sosioekonomi golongan ini. Tambahan pula, seramai 180,000 lagi pekerja di ladang sawit dengan jumlah pendapatan dan kebajikan mereka yang lain, adalah penyumbang besar kepada kestabilan politik dan sosio-ekonomi terutamanya ketika krisis kewangan Asia sekitar tahun 1997-1998.

No comments:

Post a Comment